Khamis, 20 September 2012

Perkara 152..."Bahasa Jiwa Bangsa"

Hari ini PPUJ berjalan-jalan disebuah bandar besar...tanpa ada rasa curiga,takut dan was-was dengan sebarang perkara yang buruk berlaku.Begitu aman keadaan negara ini tanpa kekacauan,perang atau pun apa jua yang tidak menganggu urusan harian.Malah PPUJ rasa inilah antara penyebabnya utama ramai warga asing datang ke Malaysia ini untuk mencari rezeki.Dengan keramahan masyarakat yang ada,toleransi, kesopanan dan kesusilaan yang wujud dalam masyarakat sejak zaman berzaman lagi menambahkan kemeriahan di negara ini..PPUJ bangga jadi Rakyat Malaysia.
Apa yang PPUJ ingin berkongsi bersama ialah jati diri bangsa kita.Hari ini PPUJ melihat jika jati diri kita kuat maka bangsa kita akan turut kuat.Dari segi moralnya kita berada ditanah air sendiri dan termaktub dalam Perlembagaan Negara bahawa:
Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.
Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.

Kebiasaanya masyarakat Melayu amat mudah terikut-ikut dengan gaya bahasa yang dituturkan oleh bangsa lain.Sebagai contoh,jika seorang lelaki melayu itu bercakap dengan seorang lelaki India..maka gaya bahasa lelaki melayu itu akan berubah menjadi seperti lelaki india itu dan perkara ini juga akan berlaku jika lelaki melayu itu ingin membeli barang disebuah kedai milik seorang cina maka lelaki melayu itu akan bercakap seperti lelaki cina.
Namun apa yang mencuit perasaan PPUJ hari ini apabila masih ada lagi Melayu yang berkerja dengan taukey Cina tetapi lelaki melayu ini masih bertutur mengikut gaya bahasa seorang melayu tanpa terikut-ikut gaya bahasa taukey cina itu tadi malah taukey cina itu pula yang terikut-ikut gaya lelaki melayu itu.Dengan cara bertutur melayu tulen membuatkan PPUJ amat berbangga dan PPUJ merasakan bahawa lelaki itu mempunyai jatidiri yang kuat untuk mempertahankan ketamadunan bangsa melayu meskipun hanya sekadar dari sudut bahasa.PPUJ teringat cogankata yang sering dipaparkan iaitu "Bahasa Jiwa Bangsa" amat tepat dan amat bersesuaian.Perkara ini amat jarang kita dengar malah dalam zaman IT ini banyak bahasa yang telah di'rojak'kan disingkat-singkatkan.
Berikut PPUJ paparkan sedikit info mengenai "Bahasa Jiwa Bangsa"

Bahasa Jiwa Bangsa

Asas keterampilan sesuatu bangsa dapat digambarkan melalui bahasa yang dituturkan oleh masyarakatnya. Kekuatan sesuatu bangsa boleh dilihat melalui kesatuan masyarakat terhadap budaya yang diwarisi sejak turun-temurun terutamanya aspek bahasa. Maka tidak hairanlah kita lihat pada hari ini, banyak Negara maju kekal menggunakan bahasa masing-masing yang diwarisi sejak turun-temurun. Rakyat Negara Perancis, German, Itali, Jepun, Korea Selatan, Denmark dan lain-lain lagi membuktikan bahasa mereka berupaya menjadikan mereka masyarakat yang berdaya saing, maju dan dikagumi masyarakat di seantero dunia. Budi bahasa budaya kita, inilah antara ungkapan yang menggambarkan peri pentingnya kita sebagai penutur bahasa melayu tanpa mengambil  kira latar belakang bangsa di tanah air yang tercinta ini menjadi masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat yang beradab. Bahasa yang kita tuturkan berupaya menggambarkan sahsiah kita. Kesantunan berbahasa yang kita perjuangkan dalam kalangan masyarakat penuturnya telah mengangkat martabat masyarakat di Negara kita sebagai masyarakat yang peramah, bersopan santun, berbudi pekerti mulia dan berbudi bahasa. Kita kagumi oleh masyarakat di seantero dunia kerana perpaduan jitu dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Tanpa melihat kepada perbezaan bangsa iaitu sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Bajau dan lain-lain lagi, kita menggunakan bahasa yang satu, iaitu bahasa Melayu tanpa prejudis. Bahasa Melayu berupaya menjadikan kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai keistimewaan tersendiri terutamanya kita diberi jolokan oleh masyarakat dunia sebagai masyarakat yang berbudi bahasa, ramah dan melayan tetamu dengan sopan. Pantun Melayu ada mengungkapkan yang berbunyi :
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Demikianlah indahnya pantun Melayu yang menggambarkan betapa bersungguh-sungguhnya nenek moyang kita menjaga adab dalam pergaulan terutamanya daripada aspek pertuturan. Gurindam Melayu juga ada mengingatkan kita akan peri pentingnya kita berswadaya mengekalkan kesantunan dalam berbahasa. Antara lainya berbunyi:
Kalau cakap tidak cermat,
Tentu kamu tidak selamat,
Kalau cakap tidak cermat,
Kalau kelakuan tidak hormat,
Tentu hidup tidak selamat.
Hal yang demikian juga digambarkan melalui sebahagian daripada seni kata lagu Allaryarham Tan Sri P.Ramlee iaitu:
Tiada kata secantik bahasa,
Nak kucurahkan rasa,
Tiada gambar seindah lukisan,
Nak kutunjukkan perasaan.
Tiada bahasa secantik puisi,
Nak kucurahkan isi hati.
Oleh itu, gunakanlah bahasa yang santun, buktikan bahawa kita merupakan masyarakat yang bertamadun, kaya dengan berbudi bahasa dan memiliki minda kelas pertama.

-Renung-renungkan......

Tiada ulasan: